AirAsia pajak 15 lagi pesawat tampung permintaan dari China

BeritaHarian Tue, Feb 07, 2023 07:45pm - 1 year View Original


SINGAPURA: AirAsia merancang untuk memajak 15 pesawat tambahan bagi memenuhi permintaan perjalanan dari China ketika ini setelah ia membuka semula sempadannya, kata Tan Sri Tony Fernandes.

"Kami sangat yakin dengan pertumbuhan sehingga kami kini dalam rundingan untuk menandatangani 15 pesawat baharu daripada pemajak," kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd itu kepada Reuters di luar acara.

Capital A adalah syarikat induk kepada syarikat penerbangan tambang rendah itu.

"Hakikat bahawa kita bercakap mengenai pesawat baharu bermakna perkara itu (permintaan) akan kembali."

Tony berkata, Capital A kini mempunyai tiga sokongan iaitu pengukuhan mata wang Asia, harga minyak jatuh dari puncaknya dan pembukaan semula China.

"Ketidakpastian laluan kini hilang dengan pembukaan China.... Dan terdapat laluan yang jelas ke arah normal, ke pra-COVID-19 pada 2019," kata Tony.

15 pesawat itu adalah tambahan kepada 326 pesawat yang sudah ada dalam senarai tempahan syarikat sehingga 2030.

Pada masa ini, AirAsia mempunyai 150 pesawat di udara dan menjangkakan untuk menggunakan semua 204 pesawatnya kembali ke dalam perkhidmatan menjelang Ogos.

Tony berkata, syarikat itu berada di landasan untuk menyelesaikan usaha penstrukturan semula dan menyelesaikan status PN17, atau 'Nota Amalan 17', menjelang Ogos.

Penstrukturan semula itu akan menggabungkan perniagaan penerbangan bajet AirAsia dengan AirAsia X dan mengeluarkan perniagaan penerbangan daripada Capital A.

Tony berkata, ini boleh menjadi permulaan kepada Capital A untuk memisahkan perniagaan lain - logistik, perkhidmatan penerbangan dan cabang digital - kepada penyenaraian berasingan.

Capital A pada Januari 2022 diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 oleh Bursa Malaysia, status yang diberikan kepada firma yang bermasalah kewangan yang boleh dinyahsenarai jika mereka gagal mengatur kewangan mereka dalam jangka masa yang ditetapkan.

"Rancangan sudah ada," kata Tony.

"Saya tidak pasti sama ada Capital A akan wujud pada masa hadapan dalam bentuknya sekarang."

- Reuters

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

AAX 1.200
BURSA 7.470
CAPITALA 0.650

Comments

Login to comment.