Bursa Malaysia menjunam lebih 14 mata

BeritaHarian Tue, Feb 07, 2023 07:15pm - 1 year View Original


KUALA LUMPUR: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah berikutan turun naik baharu apabila sentimen menjadi berhati-hati terhadap hasil bon yang meningkat.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FBM KLCI merosot 14.09 mata atau 0.95 peratus kepada 1,476.38 daripada 1,490.47 pada Jumaat lalu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 2.65 mata kepada 1,487.82 dan bergerak antara 1,471.79 dan 1,487.99 sepanjang sesi.

Suasana pasaran negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 730 berbanding 302 manakala 359 kaunter tidak berubah, 795 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 5.24 bilion unit bernilai RM3.03 bilion daripada 4.36 bilion unit bernilai RM2.41 bilion pada Jumaat lalu.

Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata saham pandu pasaran berada di bawah tekanan berikutan kebimbangan bahawa kadar faedah global dijangka terus meningkat pada separuh pertama 2023 berikutan data inflasi di seluruh dunia kekal pada paras tinggi.

"Melihat ke hadapan, kami menjangka aktiviti pengambilan untung mungkin berlarutan berikutan kekurangan petunjuk baharu. Buat masa ini, tumpuan utama akan beralih kepada musim pelaporan suku tahunan yang akan datang," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata FBM KLCI ditutup rendah selepas sesi dagangan yang kurang menggalakkan dengan jualan terutamanya pada saham wajaran tinggi perbankan.

Beliau berkata, indeks serantau utama kebanyakannya dalam julat negatif berikutan petunjuk suram daripada Wall Street semalaman apabila pelabur beralih arah selepas mengambil kira kemungkinan Rizab Persekutuan AS mengambil masa yang lebih lama untuk mula mengurangkan kadar faedah.

"Dalam negara, kami menjangka aktiviti belian saham pada harga rendah akan berlaku pada bila-bila masa sahaja berikutan jualan pada hari ini dilihat tidak wajar.

"Kami percaya prospek ekuiti Malaysia secara keseluruhan akan terus stabil dalam jangka sederhana berdasarkan penilaiannya yang menarik, pendapatan korporat yang kukuh dan keadaan ekonomi tempatan yang bertambah baik.

"Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI akan diniagakan tinggi dalam julat 1,470 hingga 1,490 pada minggu ini," kata Pak Leng.

Saham wajaran tinggi Maybank dan CIMB, masing-masing merosot lapan sen kepada RM8.63 dan RM5.58, Public Bank berkurangan lima sen kepada RM4.16, Petronas Chemicals susut 16 sen kepada RM8.15 dan Tenaga Nasional Bhd merosot 18 sen kepada RM9.39.

Bagi saham aktif, MY E.G. Services berkurangan 25.5 sen kepada 70 sen, Iris Corporation meningkat empat sen kepada 16.5 sen, Ta Win Holdings naik satu sen kepada lapan sen dan Hong Seng Consolidated menambah setengah sen kepada 19.5 sen manakala Velesto Energy tidak berubah pada 24.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 112.25 mata kepada 10,774.10, Indeks FBMT 100 merosot 109.93 mata kepada 10,437.96, Indeks FBM Emas Shariah susut 114.77 mata kepada 11,097.50, Indeks FBM 70 jatuh 188.54 mata kepada 13,696.45 dan Indeks FBM ACE berkurangan 6.62 mata kepada 5,836.61.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.52 mata kepada 190.23, Indeks Tenaga berkurangan 7.61 mata kepada 898.50, Indeks Perkhidmatan Kewangan jatuh 179.49 mata kepada 16,135.33 dan Indeks Perladangan susut 1.29 mata kepada 6,925.95.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 3.77 bilion saham bernilai RM2.63 bilion daripada 2.93 bilion saham bernilai RM1.89 bilion pada Jumaat lalu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 369.18 juta unit bernilai RM46.26 juta daripada 290.29 juta unit bernilai RM54.02 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.09 bilion saham bernilai RM348.63 juta daripada 1.13 bilion saham bernilai RM454.44 juta pada Jumaat.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 277.69 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (713.76 juta); pembinaan (94.29 juta); teknologi (1.92 bilion); SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (85.58 juta); hartanah (146.24 juta); perladangan (32.74 juta); REIT (14.22 juta), dana tertutup (200); tenaga (284.79 juta); penjagaan kesihatan (72.19 juta); telekomunikasi dan media (41.29 juta); pengangkutan dan logistik (77.45 juta) dan utiliti (17.49 juta). - BERNAMA

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

BURSA 7.470
FBMKLCI 1547.570
HONGSENG-PA 1.740
MYEG 0.770
PBBANK 4.150
TAWIN 0.035
TENAGA 11.600
VELESTO 0.275

Comments

Login to comment.